'Perokok pesakit mental'
Oleh Hafizah Iszahanid
![]() GAMBAR sinaran-X paru-paru yang dijangkiti barah. |
10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun kerana rokok
PEROKOK di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari.
Dengan anggaran minimum sebatang rokok berharga 26 sen, perokok
membelanjakan kira-kira RM8.6 juta sehari untuk membeli rokok! Suatu
pembaziran yang boleh dielakkan.
Justeru, tidak hairan apabila merokok disifatkan sebagai
sejenis penyakit. Malah mengikut pengkelasan penyakit antarabangsa,
merokok dikodkan sebagai F17.2 iaitu kategori penyakit mental dan
perlakuan yang memungkinkan perokok ditakrifkan sebagai penagih.
Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC (Konvensyen
Rangka kerja dan Kawalan Tembakau), Bahagian Kawalan Penyakit,
Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata tembakau
adalah penyebab kematian dan kesengsaraan paling utama di dunia ketika ini.
Lebih daripada lima juta orang meninggal dunia akibat
penggunaan tembakau, jumlah yang lebih besar daripada gabungan pesakit
malaria, HIV/Aids dan batuk kering.
![]() |
| ORANG ramai tidak menghiraukan larangan merokok di zon yang ditetapkan. |
Anehnya, tembakau yang dihasilkan sebagai barang pengguna masih dijual
secara terbuka walaupun fakta sains menjelaskan separuh daripada
perokok akan meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau.
Di Malaysia, orang Melayu adalah perokok paling ramai iaitu
1.66 juta atau 60.9 peratus daripada keseluruhan 2.73 juta perokok.
Majoriti perokok adalah orang dewasa dan hanya 103,630 perokok remaja.
“Setiap tahun syarikat pengeluar rokok membelanjakan jutaan
ringgit untuk memikat perokok baru, selain mengekalkan ketagihan di
kalangan perokok sedia ada. Dengan kempen dan pelbagai promosi,
industri tembakau sebenarnya cuba mengalihkan perhatian perokok
daripada fakta sebenar menghisap rokok iaitu komplikasi penyakit,”
katanya.
Pada 1998, enam juta dokumen ‘rahsia’ daripada tujuh
pengeluar rokok terkemuka di Amerika Syarikat seperti Philip Morris
Incorporated, RJ Reynolds Tobbaco Company, Brown & Williamson
Tobacco Corporation dan British American Tobacco Industries didedahkan
berikutan membabitkan kes perundangan.
Dokumen setebal 35 juta halaman itu mendedahkan pelbagai taktik kotor
pengeluar tembakau untuk terus menyebabkan ketagihan. Misalnya,
memorandum jualan daripada pengeluar rokok, Lorillard Tobacco Company
menyebut: “Asas perniagaan kita adalah pelajar sekolah menengah atas.”
Saintis Kanan British American Tobacco membuat dua kenyataan
yang menggerunkan iaitu ‘perokok adalah penagih nikotin’ dan ‘perokok
wanita lebih bermotivasi untuk merokok dan sukar berhenti. Perokok
wanita lebih neurotik (tidak stabil dari segi mental) berbanding lelaki
dan lebih suka merokok apabila tertekan.’
Walaupun pendedahan ini mendapat liputan meluas media, ia
belum berupaya sepenuhnya untuk membantu perokok membuang ketagihan.
Tidak dinafikan kemungkinan tahap nikotin dalam rokok pada masa ini
kemungkinan lebih tinggi berbanding rokok sekitar 90-an atau 80-an.
Industri pengeluaran rokok kini menyasarkan lelaki dan
perempuan kumpulan kelas pertengahan dan golongan kurang berpendidikan
sebagai sasaran pasaran baru. Di Amerika, sasarannya ialah golongan
kulit hitam, Hispanik dan masyarakat daripada Kepulauan Pasifik.
Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5
peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9
peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus
pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya
berhenti merokok.
Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani
perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti
dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru
dan keguguran janin.
Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran
mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60
peratus di belakang kotak.
Dr Zarihah berkata, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan
perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok
beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran
janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene)
perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran ‘cap kaki’
(gangrene).
Jika semua fakta itu tidak menyentuh perasaan perokok, ada
satu lagi alasan yang sangat kuat untuk perokok berhenti merokok.
Kajian terbaru mendapati, walaupun merokok di luar rumah atau di dalam
bilik khas, partikel dan gas dari asap rokok berupaya melekat di rambut
dan pakaian perokok.
Kemudian, apabila perokok pulang ke rumah menyentuh anak-anak
dan isteri, mereka juga berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi
kesihatan akibat merokok. Antaranya, masalah jantung.
‘Third hand smoker’ atau perokok ketiga adalah terma terbaru
yang digunakan bagi menjelaskan golongan yang berisiko pada kewujudan
toksin tidak dapat dilihat yang datang dari gas dan partikel sebatang
rokok.
Malah, gas dan partikel rokok bukan saja melekat pada rambut
dan pakaian perokok tetapi juga permaidani dan sofa. Kewujudan terma
perokok ketiga ini juga hasil rumusan kajian terhadap risiko rokok pada
bayi dan kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik
Amerika Syarikat pada Januari 2009.
Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi Institut Jantung
Negara, Dr Aizai Azan Rahim, berkata merokok adalah punca kira-kira 30
peratus daripada masalah jantung koronari dan ia adalah faktor risiko
utama bagi strok iskemia dan penyakit berkaitan arteri.
“Perokok ketiga tercemar dengan saki baki asap rokok yang
mencemari persekitaran. Biasanya asap rokok kekal di situ selepas rokok
habis dihisap. Partikel kimia menyebabkan tembakau terbakar termasuk
tar dan nikotin terlekat pada pakaian, rambut, bekas rokok pada kadar
yang lebih lama walaupun asap sudah hilang dari udara. Partikel ini
membentuk lebih 200 gas beracun yang kebanyakannya menyebabkan barah
seperti arsenik dan amonia.
“Jadi perokok ketiga juga berdepan dengan risiko serangan
acute coronary syndrome (ACS) (masalah jantung membabitkan kekurangan
aliran darah ke jantung) atau barah. Tiada tahap selamat pada
pendedahan terhadap asap rokok,” katanya.
Dr Aizai berkata, langkah berhenti merokok adalah asas
pencegahan masalah jantung yang utama. Ini kerana berhenti merokok
boleh mengurangkan risiko masalah jantung dengan ketara dalam tempoh
dua tahun pertama.
Bagi perokok wanita, mereka lebih cenderung menderita barah pangkal rahim jika terus merokok.
Berhenti merokok, katanya membantu mengurangkan kadar kematian
akibat penyakit jantung koronari berbanding terapi pencegahan lain
seperti mengurangkan pengambilan kolesterol. Justeru, langkah berhenti
rokok adalah asas dalam pencegahan penyakit kardiovaskular. Malah,
tabiat merokok juga mengurangkan manfaat ubat yang mencegah faktor
risiko kardiovasular.
Pada abad ke-20, 100 juta penduduk dunia meninggal dunia
disebabkan penyakit berkaitan tabiat merokok. Pada 2030, dianggarkan
lapan juta kematian disebabkan faktor yang sama setiap tahun dengan 80
peratus berlaku di negara membangun.
“Di Malaysia, 10,000 orang berhenti merokok setiap tahun. Malangnya mereka berhenti kerana meninggal dunia,” katanya.
Terlalu banyak penyakit yang dikaitkan dengan merokok. Malah
setiap tahun jumlah kemasukan ke wad disebabkan komplikasi merokok
meningkat. Pada 2006, 31,186 kemasukan dicatatkan di 773 unit rawatan
rapi di Malaysia.
Daripada jumlah itu, 12,534 kemasukan dikaitkan dengan ACS.
Malah ACS membabitkan 47 kes dalam setiap 100,000 populasi, manakala
insiden masalah koronari yang lain dicatatkan 141 per 100,000 populasi.
Dr Aizai berkata, satu daripada cabaran utama perokok untuk
membuang tabiat itu ialah ketagihan dan kebergantungan pada nikotin.
Malah, mungkin kandungan nikotin dalam rokok yang ada di pasaran hari
ini lebih tinggi berbanding nikotin dalam rokok yang dipasarkan sekitar
70-an atau 80-an. Namun, tiada kajian mengenainya dibuat.
“Ada terapi berhenti merokok menjimatkan kos yang boleh
dipilih perokok jika mereka ingin berbuat demikian. Terapi penggantian
nikotin boleh didapati dalam pelbagai bentuk, gula-gula getah,
lozenges, tampalan, semburan hidung dan penyedut.
“Malah, ada juga pilihan ubat oral bukan nikotin yang
dihasilkan secara khusus untuk membantu pengguna berhenti merokok,”
katanya.
In : Kesihatan

